Wednesday, November 19, 2008

Doa..Senjata Orang Mukmin

Salam alaik ya sahabat. Semoga rahmat, hidayah dan inayah Allah s.w.t masih ada untukku dan jua untukmu..diri ini terkadang alpa dengan dunia, maka tegurlah daku saat kamu melihatku menjauhi jalanNya..

Inni Akhofullaha Rabbal ‘Alamin”..sesungguhnya aku takut akan Allah s.w.t tuhan sekalian alam..

dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka beroleh kebenaran.’ (Al-Baqarah:186)

Allah s.w.t itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Pemurahnya Allah memberikan rezeqi kepada setiap daripada kita. Rezeqi itu tidak bermula sebaik sahaja kita dilahirkan dimuka bumi, bahkan Allah s.w.t memelihara kita dengan rezeqi yang mencukupi ketika kita masih dalam kandungan ibu. Terlalu mahal harganya jika mahu dihitung segala rezeqi yang pernah diberikan pada kita. Apatah lagi kita masih lagi menikmati rezeqi-rezeqi tersebut sekarang dan insyaAllah sehingga ke akhir hayat kita. Subhanallah, pemurahnya tuhan kita. Memberikan rezeqi tanpa dibedakan apa-apa pada hambanya.

Maha Penyayang nya Allah s.w.t meliputi seluruh umat Islam yang ada. Allah amatlah sayang kepada kita sehinggakan Dia kekal memberikan kita dua nikmat yang tersangat berharga. Nikmat Iman dan Islam. Dinihari kita mahu digelar muslim..ramai yang mengaku tapi perbuatannya tidak berlandaskan Islam. Jauhnya kita daripada Islam dan masih lagi melakukan maksiat kepada Allah s.w.t..Sungguh, Allah Maha Penyabar. Kita tidak sedar bahawa keimanan kita bakal terbayar di akhirat kelak. Iman ini menentukan nasib kita buat selamanya. Syurga mahupun neraka. Islam kebanyakan kita pada hari ini hanya sekadar pada nama..ya, mungkin pada i.c juga. Kita mahu digelar Islam namun Islam keseluruhannya kita tinggalkan..xmengapa..Sungguh, Allah Maha Penyabar..Tapi ingat, siksaan nerakaNya tidak terperi sakitnya.

Subhanallah..Inilah Allah s.w.t, tuhan yang kita abdikan diri padaNya saban hari. Ya Allah, ampunkan kami atas dosa-dosa kami, jadikan kami di kalangan hambaMu yang beriman..

Begitupun dengan sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah, Dia tetap menyuruh hambanya meminta padaNya. Kenapa ya? Kerana Dia Maha Mengetahui perihal hamba-hambaNya..=)..Dia tahu hambanya ini tidak berdaya. Dalam ujian dan dugaan yang Dia berikan, Dia hanya mahu melihat hambaNya dengan sepenuh hati berharap padaNya. Dialah tuan empunya diri kita yang tidak pernah mengendahkan masalah hambaNya.

Firman Allah s.w.t:

dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.’(Al-Mukmin:60)

Berdoa merupakan fitrah manusia, ianya ialah satu hajat rohaniah yang diperlukan dalam kehidupan manusia itu sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa musibah kesulitan dan lain-lain, tetapi bukanlah bererti berdoa itu hanya waktu ditimpa kesulitan atau kesusahan sahaja, bahkan hendaklah sentiasa diucapkan baik waktu susah mahupun di waktu senang.

Doa ialah suatu media yang menghubungkan antara manusia dengan Tuhannya dan merupakan cara kita berkomunikasi dengan Allah s.w.t. Suatu pengharapan yang tertinggi kita kepada Allah s.w.t selepas lelah kita berusaha dan berikhtiar membuat sesuatu. Inilah pergantungan kita kepada Allah dalam segenap hal yang dihadapi di dunia ini, permohonan yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawadu’ hanya mengharapkan sesuatu dari Allah Tuhan Yang Maha Agung.

Ad-Dua’ Sillahul Mu’min..Doa itu adalah senjata orang mukmin (orang beriman). Doa mempunyai kesan yang sangat mendalam bagi seorang mukmin, dari aspek psikologi ianya memberi kekuatan jiwa untuk terus menghadapi segala dugaan dan cabaran di dunia yang fana ini. Doa mampu membuatkan jiwa kita tenteram dan merasa aman dari segalanya. Bahkan doa jugalah yang mampu memotivasikan diri dalam mencapai apa yang dikehendaki. Inilah senjata dalaman kita sebagai seorang muslim yang mukmin yang menjadi puncak pengharapan kita hanya kepada Allah s.w.t.

Doa juga jalan mengatasi kekurangan diri, memupuk kekuatan mental, membina keyakinan dan harapan yang sangat mendalam. Kerna di akhirnya kita semua tahu bahawa Allah akan memakbulkan doa kita, samada cepat atau lambat atau digantikanNya dengan sesuatu yang lebih baik dari itu..Subhanallah..

Firman Allah s.w.t:

"Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku"
(az-Zaariyat:56 - 57)

Oleh itu marilah kita sama memperkayakan doa kita dalam amalan seharian. Mulakan suatu amalan itu dengan doa, maka tiada ruginya. Lengkapkanlah suatu amalan itu dengan doa maka itu yang sebaiknya. Allah itu Maha Kaya, mohonlah apa yang terbuku dihatimu kepadaNya.

Sabda Baginda Muhammad s.a.w:“Doa itu adalah ibadat seluruhnya
(H.R Tirmizi)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h pernah berkata:
"Sekiranya engkau ingin mengetahui setulus mana tauhidmu kepada ALLAH, perhatikanlah pada doa-doamu."

Wallahu ‘alam..

0 comments:

Post a Comment