Thursday, June 11, 2009

Moga Kelapangan di Kubur Buatmu, Syurga Bagimu


Dengan namaMu ya Allah, yang nyawaku sentiasa di dalam genggamanNya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pagi ini, saya terjaga dari tidur. Dikejutkan bunyi SMS yang masuk bertalu. Biasanya SMS yang masuk ketika ini, saya abaikan. Namun terasa kelainan mungkin, saya cuba membuka mata membaca mesej. Mesej daripada saudari Mardhiyyah saya buka, bertanyakan keadaan Ammar. Mesej seterusnya pula dari saudara Amir Hafizh, mengkhabarkan pemergian Saudara Mohammad Ammar bin Zulkifli. Tersentak seketika, namun muncul lafaz Innalillahiwainnailaihiraji'un...

Mata ini tak dapat ditutup kembali, walaupun hanya dua jam sahaja melelapkan mata. Tak dapat dibayangkan perasaan yang melanda. Saya bangun mencapai laptop, ingin mencari khabar selanjutnya.


Berita dari perubatan.org, mengatakan lima orang pelajar yang terlibat dalam kemalangan yang sedang dalam perjalanan pulang dari Ain Sokhna. Kemalangan dikatakan berpunca akibat kenderaan terbabas. Dikatakan ada mangsa yang tercampak keluar. Kelima-lima pelajar tersebut telah dihantar terus ke bahagian kecemasan Hospital El-Arab Suez.

Namun sayangnya Allah terhadap saudara Ammar lebih dari sayang kita semua terhadapnya. Saudara Ammar telah disahkan meninggal 10.30 pm waktu Malaysia. Dua mangsa yang lain masih kurang stabil dan dua lagi dalam keadaan stabil. Jenazah saudara Ammar telah diambil oleh pihak kedutaan.


Terasa sebak seketika, memori waktu lalu datang sejenak. Walaupun saya tak dapat mengembalikan memori sepenuhnya tentang saudara Ammar, tapi hati ini tetap terasa sebak. Terasa kehilangan.

Sahabat kita saudara Ammar, merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Kaherah Mesir yang berada di Tahun 3. Suatu ketika dahulu pernah menjadi ketua pelajar ketika berada di tahun 6. Beliau pernah dianugerahkan seorang pelajar contoh. Ya, peribadi beliau perlu kita contohi. Pernah beliau mengungkapkan kata.. "...melihat dunia dari jendela akhirat."


"Every soul shall have a taste of death: and only on the Day of Judgment shall you be paid your full recompense. only He who is saved far from the Fire and admitted to the Garden will have attained the object (of Life): for the life of This world is but goods and chattels of deception."
( Aali Imran: 185)

Moga kelapangan di kubur buatmu, dan syurga bagimu.Sayangnya Allah pada kamu... sangat-sangat sayang...lebih daripada sayang kami, sahabat-sahabat.

Al-Fatihah buat Allahyarham.

Moga ahli keluarga beliau tabah menerima ujian.

Pesanan ringkas dari ibu Ammar:

"Assalammualaikum semua anak-anak, Ini Ummu Ammar makcik mengharapkan anak-anak yg berada sekitar ini marilah kita semarakkan semangat jihad datanglah beramai-ramai semasa pengkebumian dia pagi ahad ini. Kita ambil semangat dia dan kita semua berubah kepada keredhaan Allah. maaf kesalahan dia dan kalau dia berhutang apa-apa saja sila bagitau makcik."

0 comments:

Post a Comment